Untuk mengetahui asal usul Bahasa Melayu kita perlu mengetahui asal-usul
penutur aslinya terlebih dahulu, iaitu orang Melayu. Asal-usul bangsa
Melayu sehingga kini masih kabur. Akan tetapi beberapa sarjana Eropah
seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria)
telah melakukan penyelidikan secara kasar latar belakang dan pergerakan
masyarakat Melayu kuno.
Teori mereka menyatakan bahawa bangsa
Melayu berasal daripada kelompok Austronesia, iaitu kelompok manusia
yang berasal dari daerah Yunan di China yang kemudiannya berhijrah dalam
bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan akhirnya menduduki
wilayah Asia Tenggara.
Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto dan berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi
Kira-kira
dalam tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang
dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang
subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka
ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun,
Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain
berpindah ke kawasan pedalaman. Justeru itu, Melayu-Deutro ini merupakan
masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.
Bahasa Melayu berasal
daripada rumpun bahasa Austronesia, manakala bahasa-bahasa Austronesia
ini berasal daripada keluarga bahasa Austris. Selain daripada rumpun
bahasa Austronesia, rumpun bahasa Austro-Asia dan rumpun bahasa
Tibet-Cina.
Rumpun bahasa Austronesia ini pula terbahagi kepada empat kelompok yang lebih kecil :
1. Bahasa-bahasa Kepulauan Melayu atau Bahasa Nusantara.
Contoh : bahasa Melayu, Aceh, Jawa, Sunda, Dayak, Tagalog, Solo, Roto, Sika dan lain-lain.
2. Bahasa-bahasa Polinesia
Contoh : bahasa Hawaii, Tonga, Maori, Haiti
3. Bahasa-bahasa Melanesia
Contoh : bahasa-bahasa di Kepulauan Fiji, Irian and Kepulaun Caledonia
4. Bahasa-bahasa Mikronesia
Contoh : bahasa-bahasa di Kepulauan Marianna, Marshall, Carolina dan Gilbert.
Bahasa
Melayu tergolong dalam cabang Bahasa-bahasa Nusantara yang mempunyai
bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200 hingga 300 bahasa.
Bentuk
Bahasa Melayu yang dituturkan di Kepulauan Melayu pada zaman dahulu
dikenali sebagai Bahasa Melayu Kuno dan jauh berbeza dengan Bahasa
Melayu yang moden. Bentuk Bahasa Melayu Kuno hanya dapat dilihat melalui
kesan tinggalan sejarah seperti batu-batu bersurat. Batu-batu bersurat
yang menggunakan Bahasa Melayu dipercayai ditulis bermula pada akhir
abad ke-7. Sebanyak empat batu bersurat telah dijumpai yang mempunyai
tarikh tersebut :
1. Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M) - Palembang
2. Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M) – Palembang
3. Batu Bersurat Kota Kapor (686 M) – Pulau Bangka, Palembang
4. Batu Bersurat Karang Brahi (686 M) – Palembang
Berpandukan
isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas arahan raja
Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi Sumatera,
Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka. Oleh itu,
ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa
rasmi dan bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus meluaskan
penyebaran Bahasa Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun bahasa
pada batu bersurat itu masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi masih
terdapat pengaruh Bahasa Melayu Kuno di dalamnya.
Istilah
“Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun 644 dan
645 Masehi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang
mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil
bumi keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat
dipastikan dengan tegas. Ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah
Melayu dan di Jambi, Sumatera.
Selain daripada empat batu
bersurat yang disebutkan tadi, terdapat juga bahan-bahan lain yang
dihasilkan dalam zaman kerajaan Srivijaya pada abad ke-7 hingga ke-13
Masehi. :
1. Batu Bersurat Gandasuli (832 M) – Gandasuli, Jawa Tengah
2. Sebuah batu bersurat yang dijumpai di Bangkahulu bertarikh 1000 Masehi.
3. Sebuah patung gangsa yang dijumpai di Padang Lawas, Tapanuli bertarikh 1029 M dengan tulisan pada kaki alasnya
4.
Sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan
catatan perkataan “Malaya” atau “Melayu” pada bahagian belakangnya.
Bahasa Melayu (Abad ke-13 hingga 18 Masehi)
Pada zaman ini tiga buah batu bersurat yang menunjukkan perkembangan Bahasa Melayu telah dijumpai :
1. Batu Bersurat Pagar Ruyong, Minangkabau (1356 M) – ditulis dalam tulisan India dan memperlihatkan pengaruh Bahasa Sanskrit.
2. Batu Nisan di Minye Tujuh, Acheh (1380 M) – juga ditulis dalam tulisan India dengan beberapa perkataan Arab
3.
Batu Bersurat Terengganu – dijumpai di Sungai Teresat, Kuala Berang
Terengganu. Tarikh sebenar tidak dapat dipastikan, tetapi ia dipercayai
ditulis antara tahun 1303 M hingga 1387 M. Ia ditulis dalam tulisan
Jawi.
Abad ke –13 adalah waktu bermulanya zaman peralihan di
Kepulauan Melayu dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini
telah mempengaruhi bangsa dan bahasa di sini, terutamanya bangsa dan
bahasa Melayu. Pengaruh India sedikit demi sedikit mula digantikan
dengan pengaruh Islam dan Arab.
Zaman penting bagi Bahasa Melayu
ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang
telah menerima Islam dan berjaya membina empayar yang luas telah dapat
meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini.
Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan
serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa Melayu juga telah
menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu. Bahasa
Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi.
Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk
mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan
Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam “Sejarah Melayu” oleh Tun
Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat tinggi
nilainya.
Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan
Melaka ke tangan Portugis pada tahun1511 masehi tidak menamatkan
pengaruh Bahasa Melayu. Ramai di antara mereka yang menjalankan
penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai bahasa dan kesusasteraan
Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :
1. Pigafetta,
seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama
Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau
Tidore pada tahun 1521. Ia merupakan daftar kata daripada bahasa yang
dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah
perkataan dan adalah daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan
Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa Melayu
menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar.
2. Jan
Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di
Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai
kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa
Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara
bahasa-bahasa negeri timur.
3. Pada awal abad ke-18, Francios
Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak
menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan
kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut :
“Bahasa mereka, Bahasa
Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga
digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur,
sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap
orang.”
Satu bukti tentang tingginya martabat Bahasa Melayu
dan luas penggunaanya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara
pentadbir dan raja-rja di Kepulauan Melayu. Antaranya ialah :
1. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
2. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
3. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
Ketiga-tiga surat ini tersimpan di perpustakaan Bodelein, London
Dalam
abad ke-17, terdapat banyak usaha oleh sarjana-sarjana Eropah untuk
menyusun kamus dan daftar kata, yang kemudiannya diteruskan kepada
bidang morfologi, sintaksis dan fonologi.
Tokoh-tokoh tempatan
juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan. Kebanyakan usaha mereka
berkisar tentang agama dan sastera. Palembang dan Acheh telah
menggantikan telah menggantikan Melaka sebagai pust keintelektualan
Melayu. Antara tokoh-tokoh di Acheh ialah :
1. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)
2. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)
3. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)
4. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)
Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falambani dengan kitab “Hikayat Al-Salakin”.
Selain
daripada Acheh dan Palembang, beberapa tokoh juga timbul di
tempat-tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh
(Pengiran Indera Muda) telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di
Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-Banjari dengan kitab “Sabil
Al-Muhtadin”. Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani di Pattani pula
menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”.
Bahasa Melayu (Abad ke-19 dan 20 Masehi)
Kemuncak
kegiatan alam persuratan Melayu melalui Bahasa Melayu dan tulisan Jawi
adalah di Penyengat, sebuah pulau di Kepulauan Riau yang menjadi
sebahagian daripada Kerajaan Johor-Riau. Di sinilah dari abad ke 19
hingga awal abad ke 20, tertumpunya kegiatan keintelektualan
Melayu-Islam dan perkembangan Bahasa Melayu selanjutnya.
Banyak
karya serta kitab diterbitkan di pulau ini, seperti kitab “Al-Hakim”
oleh Tajuddin Abdul Fadzil Ahmad ibn Abdul Karim (1863 M) dan “Sabil
Al-Hidayat” oleh Sayyed Aluwi Ba’aluwi (1899 M)
Tetapi hasil
penulisan yang terkenal dan terpenting dalam dunia persuratan Melayu
ialah karya Raja Ali Haji, iaitu “Bustan Al-Katibin” (1857 M),
“Pengetahuan Bahasa” (1859 M), “Salasilah Melayu dan Bugis” (1865 M) dan
“Tuhfat Al-Nafis” (1865 M). Pada masa itu juga di Johor terdapat
beberapa hasil penulisan seperti “Hikayat Negeri Johor” dan “Kitab
Pemimpin Johor”.
Kerajaan Melayu Johor-Riau terus menjadi pusat
pengembangan Bahasa Melayu sehingga ia menjadi bahasa persatuan di
seluruh Nusantara.
Sebelum Inggeris bertapak di Semenanjung Tanah
Melayu, Bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa perantaraan bagi
penduduk negara ini. Ia digunakan sebagai bahasa pentadbiran di semua
pusat pemerintahan dan menjadi bahasa pengantar di institusi pendidikan
yang ada pada ketika itu seperti pusat pengajian Islam dan kelas agama.
Perhubungan antara rakyat juga menggunakan Bahasa Melayu, termasuk di
pusat-pusat perniagaan seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang
sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu (begitu juga
hari ini).
Pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu,
khususnya ketika sebelum berlaku Perang Dunia Kedua, Bahasa Melayu terus
digunakan untuk tujuan urusan rasmi di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Pegawai-pegawai Inggeris yang
bertugas di Negeri-Negeri Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dikehendaki
mempelajari Bahasa Melayu dan mesti lulus dalam peperiksaan Bahasa
Melayu sebelum disahkan dalam jawatan.
Sebahagian daripada
pegawai-pegawai itu terus menaruh minat yang tinggi terhadap Bahasa
Melayu, sehingga dikenali sebagai sarjana Bahasa Melayu. Antaranya ialah
R.O. Winstedt, J.R. Wilkinson, C.C. Brown, W.E. Maxwell, W. Marsden,
W.G. Shellabear dan J. Crawford.
Hanya selepas Perang Dunia
Kedua kedudukan serta peranan Bahasa Melayu mula terancam.
Pegawai-pegawai Inggeris baru yang jahil terhadap Bahasa Melayu membawa
tekanan kepada kehidupan rakyat di negara ini, menerusi nilai-nilai baru
yang diperkenalkan. Orang-orang Inggeris menjadi “tuan” dan segala yang
bersangkutan dengan cara hidup mereka diberi nilaian yang tinggi
termasuk bahasa mereka.
Ini diperkukuhkan dengan dasar
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem
persekolahan. Dalam keadaan Bahasa Melayu menerima tekanan,
kesusasteraan Melayu terus dihasilkan, bukan oleh cendiakawan
berpendidikan barat tetapi cerdik pandai lulusan sekolah Melayu atau
Arab.
Kemerosotan Bahasa Melayu tidak berterusan. Pada awal abad
ke-20, semangat kebangsaan bergema dan orang-orang Melayu mula mengorak
langkah untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Wartawan,
sasterawan, budayawan, guru-guru Melayu dan ahli-ahli politik berganding
bahu memperjuangkan cita-cita ini. Akhbar dan majalah menjadi saluran
utama untuk menyuarakan hasrat ini. Perjuangan Bahasa Melayu digerakkan
serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada
penjajahan.
Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya
Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang menyebut
bahawa “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah
ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan
undang-undang Parlimen”. Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru
bagi Bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah menjadi lingua franca bagi
seluruh Kepulauan Melayu.
No comments:
Post a Comment